![]() MENJADI BELIA CEMERLANGMohd. Ismail Mustari Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. 224 halaman ISBN 983-3376-79-7 31 December 2004 |
SINOPSIS Buku ini bertujuan membantu belia dan pelbagai pihak yang berkaitan menggilap potensi intelek, fizikal, emosi, dan spiritual belia. Kehebatan tokoh-tokoh yang ditonjolkan di dalam buku ini daripada sudut ilmu pengetahuan, sikap sedia berkorban dan keyakinan tinggi sewajarnya dihayati oleh belia. Buku ini sesuai dibaca oleh para belia, pendidik, pegawai belia dan sukan, pegawai kerajaan, kaunselor, pemimpin masyarakat, ibu bapa dan masyarakat umum. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya buku Menjadi Belia Cemerlang ini dapat diselesaikan juga. Penulis mengambil masa yang agak lama dalam usaha menyiapkan buku ini bagi mengenal pasti masalah sebenar yang mengekang usaha melahirkan belia cemerlang. Penulis menggunakan pelbagai cara dan pendekatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bagi memahami masalah para belia pada masa kini. Penulis pernah menghabiskan masa berlonggok dengan belia-belia kampung selama berminggu-minggu pada waktu malam di kawasan-kawasan sunyi dan gelap yang mereka jadikan sebagai tempat mereka berkumpul. Tujuan penulis berbuat demikian adalah bagi mengetahui perkara yang menjadi bualan mereka bersama. Selepas penulis meneliti dan mengamati para belia berkenaan, penulis tergerak mengambil Ijazah Peringkat Sarjana (M.A) dan membuat penyelidikan berkait dengan belia cemerlang daripada perspektif Islam. Buku ini dipersembahkan apabila penulis rasa terpanggil berkongsi pengalaman bagi menyemai benih dan melahirkan belia cemerlang dalam usaha memperkasa masyarakat. ‘Belia umpama berlian’. Mereka merupakan aset mahal bagi mana-mana negara. Mereka adalah golongan dominan dan berpengaruh, kuat dan berdaya tahan. Pelbagai harapan dan cabaran bertumpu pada golongan ini. Oleh sebab itu, peribadi mereka perlu diberi persediaan, dibimbing dan dilentur sebaik mungkin supaya aspek rohani, jasmani, intelek dan emosi mereka subur dan seimbang. Tanggungjawab menyediakan, membimbing dan melahirkan belia cemerlang adalah tanggungjawab kita bersama. Kekuatan agama, akal, emosi dan fizikal para belia perlu digilap secara terus-menerus supaya empat aspek penting ini mantap dan mapan. Pelbagai teori dan pengalaman dikemukakan dalam buku ini bagi menterjemahkan belia cemerlang sebagai pelapis agama, bangsa dan negara. Penulis juga mengucapkan terima kasih pada para pemikir belia kerana dengan hasil kajian, penulisan dan idea mereka, penulisan buku ini dapat dimantapkan lagi. Mudah-mudahan buku ini dapat menjadi panduan bagi para pembaca dan seluruh umat Nabi Muhammad bagi memartabatkan maruah insan dengan segala kelebihan yang Allah anugerahkan. Seterusnya kepada para pembaca, penulis mohon maaf atas kelemahan dan kekurangan yang ada di dalam buku ini. |
0 comments:
Post a Comment