JADI AKTIF
Mengapa Menjadi Aktif Begitu Penting?
Fakta-faktanya jelas: Dengan bersenam sesedikit 30 minit setiap hari anda boleh mengurangkan risiko anda untuk penyakit jantung. Tanpa aktiviti fizikal tetap, badan perlahan-lahan kehilangan kekuatan dan keupayaannya untuk berfungsi dengan baik. Aktiviti fizikal = kehidupan lebih sihat lebih lama.
Aktiviti fizikal secara tetap membantu: Menurunkan tekanan darah, meningkatkan kolesterol “baik” HDL dalam darah anda, mengawal gula dalam darah dengan memperbaik bagaimana badan anda menggunakan insulin, mengurangkan perasaan tekanan atau stres, mengawal berat badan dan membuat anda rasa suka tentang diri anda.
Garis Panduan Ringkas
Pakar-pakar kesihatan mencadangkan sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu senaman sederhana atau 75 minit setiap minggu senaman berat. Atau satu campuran sederhana dan berat. Aktiviti fizikal adalah apa saja yang membuat anda menggerakkan badan anda dan membakar kalori, seperti menaiki tangga atau bersukan. Senaman-senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berenang atau berbasikal memanfaatkan jantung anda. Senaman kekuatan dan senaman regangan adalah terbaik untuk stamina dan kelenturan menyeluruh anda.
Untuk meningkatkan aktiviti fizikal dalam gaya hidup anda, anda boleh cuba:
Meletak kereta jauh sedikit dari tempat yang anda tuju
Berjalan-jalan atau bersiar-siar dengan berjalan kaki sepanjang hari bekerja di sekitar tempat kerja
Bermain dengan teman-teman dan keluarga anda.
Paling mudah, perubahan positif yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan kesihatan jantung anda dengan berkesan ialah dengan mula berjalan. Ia menyeronokkan, percuma, mudah, dapat bertemu mata dengan orang, dan juga satu senaman yang hebat!
Tidur Terlalu Sedikit Boleh Membahayakan Jantung Anda
Share
209
Tidak cukup tidur boleh meningkatkan risiko anda untuk angin ahmar (strok) dan serangan jantung.
Itulah penemuan para penyelidik Britain yang menganalisa data yang diperoleh dari lebih daripada 470,000 orang dari lapan buah negara, termasuk Amerika Syarikat.
"Jika anda tidur kurang daripada enam jam semalaman dan mengalami tidur yang terganggu, anda 48 peratus lebih berkemungkinan untuk mendapat atau mati kerana sakit jantung dan 15 peratus lebih kemungkinan untuk mendapat atau mati kerana strok," kata Dr. Francesco Cappuccio, dari Warwick Medical School di England, seorang pengarang bersama penyelidikan tersebut, dalam hebahan berita di University of Warwick.
"Corak tidur lewat malam dan bangun awal pagi sebenarnya adalah bom jangka untuk kesihatan kita, jadi anda kena bertindak sekarang untuk mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit yang mengancam nyawa ini," beliau menambah.
Dr. Michelle Miller, penulis bersama kajian dengan Dr. Cappuccio, menjelaskan dalam hebahan berita itu yang "tidur sebentar kronik menghasilkan hormon-hormon dan bahan kimia dalam badan yang meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung dan angin ahmar , dan keadaan lain seperti tekanan darah dan kolesterol yang tinggi, kencing manis dan obesiti."
Kajian itu telah diterbitkan pada 8 Febuari dalam European Heart Journal.
Segala pergelutan hidup/kerja dalam kehidupan hari ini menyebabkan ramai dari kita menukarkan masa tidur yang berharga dengan bekerja untuk memastikan kita siap semua kerja yang diberikan kepada kita.
"Tetapi dengan berbuat demikian" kata Dr. Cappuccio, "kita meningkatkan risiko mendapat strok atau penyakit kardiovaskular yang mengakibatkan, contohnya serangan jantung."
Mendapat tujuh jam tidur semalaman melindungi kesihatan dan mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit kronik, nasihat beliau.
Apakah Itu Kolesterol?
Share
25
Kolesterol ialah bahan berlemak (lipid) yang merupakan sebahagian daripada membran luar sel dalam badan haiwan. Ia juga ditemui dalam edaran darah manusia. Dua sumber utama kolesterol dalam darah diperoleh daripada pemakanan dan pengeluaran hati.
Kolesterol pemakanan datang daripada daging, ayam, ikan dan produk tenusu. Selepas makan, kolesterol diserap oleh usus ke dalam peredaran darah dan diselaputi oleh protein. Kolesterol bersalut protein ni dipanggil chylomicron.
Hati mampu menyingkirkan kolesterol daripada peredaran darah dan juga menghasilkan kolesterol serta merembeskan kolesterol ke dalam peredaran darah. Selepas makan, hati mengeluarkan chylomicron daripada peredaran darah. Di antara waktu makan, hati menghasilkan dan merembeskan kolesterol kembali ke dalam peredaran darah.
Kolesterol Jahat, Kolesterol Baik
Kolesterol tidak boleh larut dalam darah kecuali jika ia bergabung dengan protein khas yang dipanggil lipoprotein. Kolesterol yang dirembeskan oleh hati ke dalam darah boleh bergabung dengan lipoprotein ketumpatan amat rendah (VLDL) atau lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL).
Kolesterol LDL yang terhasil daripada metabolisme kolesterol VLDL dalam aliran darah, dikenali sebagai kolesterol ‘jahat’ manakala kolesterol HDL dikenali sebagai kolesterol baik.
Bagaimana Serangan Jantung Boleh Berlaku?
Seseorang individu terdedah kepada serangan jantung bila dia mempunyai kolesterol LDL yang lebih tinggi daripada kolesterol HDL.
Lipoprotein LDL menyebabkan kolesterol melekat pada dinding arteri, menyebabkan pembentukan bahan keras dan tebal yang dipanggil plak kolesterol. Lama-kelamaan, plak kolesterol menyebabkan dinding arteri menebal dan saluran arteri semakin sempit, satu proses yang dipanggil atherosclerosis.
Arteri koronari membekalkan darah dan oksigen kepada otot jantung. Bila arteri koronari menyempit disebabkan atherosclerosis, ia tidak mampu membekalkan darah dan oksigen secukupnya kepada otot jantung. Kekurangan oksigen ke otot jantung menyebabkan dada sakit, juga ketulan darah dalam arteri yang menyebabkan saluran itu tersumbat dan membawa kepada kematian otot jantung (serangan jantung).
Partikel kolesterol HDL menghalang proses atherosclerosis dengan menarik kolesterol daripada dinding arteri dan menyingkirkannya melalui hati, untuk dibuang menerusi hempedu. Ia juga mengganggu pengumpulan kolesterol pada dinding arteri oleh partikel kolesterol LDL.
Merokok, Gaya Hidup; Punca Mati Muda
Oleh Nasron Sira Rahim, BH
Penyakit yang 'menyerang' manusia ialah penyakit berjangkit atau wabak seperti tibi, malaria atau HIV manakala penyakit berpunca daripada manusia sendiri seperti diabetes, jantung, kanser dan strok.
Akan tetapi, daripada semua jenis penyakit yang berpunca atau dihasilkan manusia, ada beberapa penyakit serius yang diklasifikasikan sebagai 'kronik' kerana ia mencetuskan hampir dua kali ganda jumlah kematian di seluruh dunia berbanding punca kematian lain. Kumpulan penyakit yang dikenali sebagai 'penyakit kronik tidak berjangkit' (CNCD) itu seterusnya mencetuskan kebimbangan di kalangan saintis serta pakar perubatan sehingga menyebabkan pelbagai usaha dan penyelidikan dilakukan bagi mengatasi penularannya.
Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara penyakit yang termasuk dalam kategori CNCD adalah penyakit berkaitan kardio vaskular, diabetes jenis kedua, penyakit kronik berkaitan respiratori selain beberapa jenis kanser. Pengarah Institut Antarabangsa Berkaitan Kesihatan Global, Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-IIGH), Tan Sri Mohamed Salleh Mohamed Yasin, berkata CNCD amat dibimbangi kerana menjadi punca kira-kira 60 peratus kematian di seluruh dunia.
"Lebih membimbangkan adalah penyakit kronik CNCD turut mencatatkan 44 peratus kematian terhadap pesakit yang masih muda, jumlah kematian secara keseluruhan pula dua kali ganda membabitkan penyakit berjangkit termasuk HIV/AIDS, tibi dan malaria," katanya.
Beliau berkata, dari sudut ekonomi pula, CNCD turut memberi impak negatif yang dahsyat terhadap produktiviti sesebuah negara. Dianggarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, China, India dan United Kingdom, masing-masing akan kerugian AS$558 bilion, AS$237 bilion dan AS$33 bilion akibat kematian rakyatnya yang disebabkan penyakit knonik berkenaan.
"Tanpa ada usaha untuk menghentikan penularan CNCD, dianggarkan 388 bilion penduduk seturuh dunia akan mati akibat penyakit ini dalam tempoh 10 tahun, malah sejumlah 36 bilion penduduk mati pada usia muda menjelang 2015," katanya yang dilantik menjadi pengarah pertama bagi UNU-IIGH sejak institut itu ditubuhkan pada 1 Mac 2007 lalu.
Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes CNCD adalah purata jangka hayat penduduk yang lebih panjang, penggunaan tembakau atau merokok, kurangnya aktiviti jasmani dan pemilihan makanan tidak sihat.
"Sebenarnya kebanyakan punca penularan penyakit CNCD ini boleh dicegah kerana ia membabitkan gaya hidup seseorang. Sebanyak 80 peratus kematian pada usia muda akibat penyakit jantung, strok atau diabetes boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat selain pengetahuan mengenai aspek farmaseutikal," katanya.
Beliau berkata, ada penyakit kronik CNCD yang berpunca daripada merokok, justeru dengan menghentikan tabiat merokok, ia secara tidak langsung mampu mengatasi penularan penyakit berkenaan.
Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kementerian Kesihatan yang diketuai Profesor Dr Syed Mohamed Aljunid mendapati seramai 93,306 penduduk di negara ini meninggal dunia akibat penyakit yang berpunca daripada merokok dari 2004 hingga 2007. "Malah setiap tahun, lebih 33,000 kes baru dicatatkan bagi penyakit jantung, kanser paru-paru (hampir 3,000) dan penyakit semput kronik (kira-kira 12,800) yang berpunca daripada merokok," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga membelanjakan sekitar RM3.4 bilion setahun bagi merawat ketiga-tiga penyakit terbabit dan jumlah sebanyak itu pasti dapat disalurkan untuk manfaat lain yang lebih baik jika tabiat merokok dapat dihenti atau dikurangkan.
"Akan tetapi untuk menghentikan tabiat merokok adalah satu cabaran besar di negara kita. Kajian mendapati 49 peratus daripada lelaki dewasa (berusia 18 tahun ke atas) merokok malah wanita pula sebanyak lima peratus. Kajian mendapati jumlah perokok wanita meningkat berbanding 20 tahun lalu. Dulu hanya 0.5 peratus tetapi kini sudah lima peratus. Puncanya mungkin disebabkan lebih ramai wanita muda sekarang yang berkerjaya, profesional dan pengaruh iklan syarikat rokok," katanya.
Kesan buruk rokok sebagai satu daripada pencetus CNCD menyebabkan ada beberapa negara yang mengambil langkah ketat terhadap barang berkenaan bagi mengurangkan jumlah perokok di negara mereka.
"Kanada misalnya cuba mengurangkan jumlah perokok di negara mereka dengan menaikkan harga rokok dengan kadar yang tinggi, melarang menjual rokok secara batang selain memperbanyakkan kawasan larangan merokok," katanya.
Beliau berkata, aspek pencegahan penyakit CNCD dapat dijayakan menerusi integrasi pelbagai pihak membabitkan bidang sains, teknologi, polisi dan sosial; daripada pemerintah sehingga ke rakyat bawahan.
Sehubungan itu, Mohamed Salleh berkata, pihaknya di UNU-IIGH akan melakukan pelbagai penyelidikan dalam bidang kesihatan global, antaranya kualiti dalam sistem penjagaan kesihatan, kajian penyakit dan kaedah kawatan, pembangunan teknologi maklumat dalam kesihatan seterusnya kesan perubahan iklim dan impak globalisasi terhadap kesihatan.